Saturday, February 14, 2009

Polis rampas 1,742 mesin judi haram

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Polis merampas sebanyak 1,742 unit komputer yang diubah suai menjadi mesin judi haram bernilai RM3.48 juta menerusi 'Ops Dadu' yang dijalankan di seluruh daerah Gombak sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, rampasan itu membabitkan 137 serbuan yang dibuat di premis seperti kafe siber yang menjalankan aktiviti judi haram.

"Hasil serbuan itu juga, polis menahan seramai 148 orang iaitu pemilik, pekerja serta pengunjung.

"Daripada jumlah itu, 38 orang telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak semalam.

Sehubungan itu, Abdul Rahim memberi amaran kepada semua pengusaha pusat kafe siber
supaya menjalankan perniagaan mereka mengikut peruntukan undang-undang.

"Kafe siber sepatutnya menawarkan perkhidmatan internet dan sekiranya mana-mana premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian haram, kita akan mohon pihak berkuasa tempatan menarik lesen perniagaan mereka," tegasnya