Wednesday, December 10, 2008

Polis rampas 316 mesin judi komputer

KUALA LANGAT Sebanyak 316 set komputer yang telah diubah suai menjadi mesin judi dirampas dalam Ops Dadu Khas yang dijalankan oleh polis daerah ini di 47 pusat judi berkomputer dan kafe siber di sini sejak Jun lalu.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 102 set komputer dirampas dalam operasi yang dilakukan di 16 pusat judi berkomputer dan siber kafe antara 17 November lalu hingga semalam.

Ketua Polis Kuala Langat, Supritendan Radzi Ishak berkata, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah 52 orang termasuk seorang warga Myanmar dan dua wanita yang dipercayai operator atau pekerja di pusat judi berkomputer dan kafe siber yang diserbu.
Beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 4 (B) Akta Pusat Perjudian Terbuka dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan.

"Sebahagian dari 47 pusat perjudian berkomputer dan kafe siber yang diserbu telah diambil tindakan termasuk ditutup.

"Kita juga telah meminta kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memotong bekalan elektrik dan air mereka supaya mereka tidak dapat beroperasi lagi selepas ini," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Radzi lagi, pihaknya akan meneruskan Ops Dadu Khas selepas ini bagi membanteras kegiatan judi komputer secara haram di daerah ini.

"Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar tidak berkunjung ke tempat pusat perjudian berkomputer ini kerana jika tiada pelanggan mereka tidak akan beroperasi," ujar beliau.

Nota: Lagi Satu Kes Yang Burukkan Nama Cyber Cafe

No comments: